HALAMAN

Ahad, Jun 19, 2011

PENEMUAN SAINS TERKINI MAMPU PERKUKUHKAN KEIMANAN UMAT ISLAM

Oleh Rohidzir Rais








KITA boleh beriman dengan apa saja yang kita mahu, namun dunia moden kini berpaksi di atas bukti dan keterangan sains dan teknologi. Bagi mereka, iman tanpa bukti tidak memberi erti kerana kebenaran tidak berlandaskan kepercayaan atau fahaman ramai, jika tidak pasti Christopher Colombus sudah terjatuh dari bumi pada 1420 dulu.

Tidak dinafikan ada kelompok agamawan yang berkarat dengan jumudisme sehingga berasa cuak meletakkan al-Quran di neraca sains, kononnya ia hanya akan melemahkan iman seperti kepercayaan paderi Kristian pada Zaman Kegelapan Eropah (dianggarkan berlangsung selama 1,000 tahun).

Ketika itu institusi Gereja Katolik Rom berkuasa penuh ke atas kerajaan. Menurut paderi Charles Chiniquy, (1809-1888) dalam bukunya bertajuk Years in the Church of Rome, semua kerajaan perlu berasas kepada kepercayaan Katolik dan Paus (Pope) saja adalah sumber perundangan yang sah serta maksum daripada sebarang kesalahan. Paus adalah pentafsir tunggal kepada hukum-hakam.

Pada masa sama, sebuah mahkamah perundangan dinamakan Inquisition Court ditubuhkan dan mahkamah ini mempunyai kuasa penuh menangkap, memenjarakan, menyeksa dan membunuh sesiapa saja dianggap menentang gereja, tanpa bicara.

Berikutan itu, menurut E Josephson (1986), 100 saudagar dibakar pada abad ke-16 hanya kerana membuat keuntungan dalam perniagaan. Sementara itu, dianggarkan sebahagian penulis Barat sekitar 340,000 orang dibunuh dengan dibakar kerana mempelajari sains dan mengeluarkan teori sains kononnya bertentangan dengan gereja serta mengundang kemurkaan Tuhan.

Mengecewakan bila perkara sama berlaku kepada sebahagian masyarakat Islam di Malaysia menyebabkan timbul pertanyaan, benarkah Islam dan sains itu ibarat air dan minyak tidak mungkin bersatu?










Menyingkap sejarah agama nenek moyang mungkin boleh menjawab persoalan ini. Ketika Islam tiba di Tanah Melayu sebelum kurun ke-15, masyarakat Nusantara ketika itu kebanyakannya beragama Hindu dan animisme, atau langsung tidak beragama. Kepercayaan Hindu dan animisme yang sarat dengan unsur tahyul serta khayalan menyebabkan penganutnya hilang nilai berfikir yang rasional. Tambahan, kita hanya didedahkan dengan ilmu sains dan teknologi oleh penjajah Barat.

Secara luar sedar, kita seolah-olah ditanamkan untuk menempatkan Islam di satu sudut dan sains di sudut berbeza. Pastinya ramai tertanya sejauh mana kebenaran perbandingan antara al-Quran dan sains memberikan kesan negatif kepada keteguhan iman seseorang?

Analisis perbualan Bapa Sains Dunia, Nabi Ibrahim dengan Tuhannya, memberikan pencerahan. Peristiwa itu dirakamkan dalam surah al-Baqarah, ayat 260 yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: Ya Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk yang mati? Allah berfirman: Apakah engkau belum percaya? Ibrahim menjawab: Bahkan aku meyakininya, tetapi supaya tenteram hatiku.

Bagaimana Ibrahim, kekasih Allah yang teruji imannya dengan penyembelihan puteranya, memerlukan bukti zahir yang boleh diperhatikan. Jika iman seorang nabi Allah juga memerlukan bukti pemerhatian untuk mententeramkannya, bagaimana dengan kita?

Cukup kuatkah iman dengan hanya berbekalkan ilmu tauhid yang diajar ketika di sekolah rendah dan menengah? Sempurnakah tauhid kita dengan hafalan dan nyanyian Asma al-husna, sifat 20 dan marhaban atau sebenarnya kita sekadar beriman di mulut, tetapi tidak di hati?

Jelasnya, segala penemuan sains terkini secocok dengan ayat al-Quran dan hadis, tidak menjadi dalil kepada mereka yang tidak beriman. Sebaliknya ia mungkin dapat menggilap kembali mutiara iman yang sedia tersemat pada dada mereka yang jujur mencari kebenaran.

Disalin dari : http://al-zuhaily.blogspot.com/2010/11/penemuan-sains-terkini-mampu-perkukuh.html#comments

Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah orang yang apabila disebutkan Allah akan gementar hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya (ayat-ayat Allah) akan bertambahlah iman mereka, dan kepada Rab (Tuhan) mereka bertawakal. ( Surah an-Anfal : Ayat 2 )

Wallahua'lam




Tiada ulasan:

Catat Ulasan