HALAMAN

Selasa, September 06, 2011

UBUN UBUN YANG BERDUSTA





Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya . (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran. (Menegakkan benang basah ) “. Riwayat Ahmad.
 
Firman Allah swt dalam Surah Al-Alaq, ayat 15-16 : “ Jangan sekali-kali berlaku derhaka, Demi sesungguhnya jika ia tidak berbenti dari perbuatannya yang buruk itu, nescaya kami akan menyentap ubun-ubunnya dan menyeretnya ke dalam neraka. Ubun -ubun orang yang berdusta, yang bersalah," (surah Al-Alaq:15-16).

Mulanya ayat al-Quran itu dibaca dan dengan jelas disebut ubun-ubun dusta yang derhaka.

Kenapa ubun-ubun yang dusta dan derhaka, sedangkan ia tidak mampu berbicara. Kalau mulut yang dikatakan dusta ada logiknya.

Kemudian terlintas pula di fikiran setiap sesuatu yang Allah nyatakan di dalam al-Quran mesti ada maksud di sebaliknya. Hati semakin meronta-ronta hendak tahu kenapa ubun-ubun yang dikatakan dusta. Bagaimana pula de­ngan kajian sains moden, mampu kah membuktikan ubun-ubun berdusta?

Kemudian ingatan membawa pada petua yang diamalkan oleh orang Mela­yu tentang ubun-ubun. Setup kali bayi yang baru lahir akan dihembus ubun­ ubunnya sambil berdoa yang baik-baik. Ubun ubun yang masih lembik itu akan berdenyut seperti jantung. Kemudian kita juga diaJarkan, semasa anak-anak tidur tiup ubun-ubunnya berserta doa dan selawat. Apa saja yang berkaitan dengan anak, nakal, tidak mahu bela­jar, tidak mendengar kata atau apa saja hanya disuruh hembus ubun ubunnya dengan bacaan tertentu.





APA RAHSIA UBUN-UBUN SEBENARNYA?

Menurut Dekan Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Adnan Mohamed Yusoff, di dalam al-Quran ubun-ubun disebut nashiyah. Para ulama dahulu mentafsirkan ayat di atas iaitu ubun ­ubun yang berdusta adalah orang yang menipu.

Katanya ayat itu ditafsirkan secara perbandingan. Dalam budaya dan peng­gunaan bahasa Arab, merujuk kepada anggota badan untuk dikiaskan dengan sifat seseorang adalah sesuatu yang lumrah. Contohnya, apabila hendak me­ngatakan seorang itu penipu dan pendus­ta mereka sifatkan pada anggota badan. Sama seperti di dalam bahasa Melayu yang disebut kiasan iaitu kaki bangku, panjang tangan dan telinga nipis.

"Dengan perkembangan sains yang semakin pantas, ulama mula meng­kaji maksud ubun-ubun dengan lebih terperinci. Kajian yang dilakukan oleh Sheikh Zahlun Najar dan Abdul Majeed Alzendanee, menemukan fakta tentang ubun-ubun yang boleh dikait­kan dengan al-Quran. Asalnya kajian itu dilakukan oleh sarjana barat.

"Di dalam otak kita ada satu bahagian yang berfungsi untuk mengawal diri, membentuk tingkah laku dan peribadi seseorang. Pusat kawalan itu adalah ubun-ubun yang letaknya di belakang dahi atau dipanggil frontal lobe.

"Di bahagian itulah pusat kawa­lan segala arahan dikeluarkan, mengawal tingkah laku, berbohong, berbuat salah, kejujuran dan membuat kepu­tusan. Anggota badan hanya menjadi tentera yang menjalankan arahan saja," jelasnya.

Dr. Adnan menambah lagi, hasil kajian yang menggunakan teknologi canggih telah berjaya mengesan unsur pembohongan. Dari imbasan yang dilakukan, bahagian ubun-ubun meng­hasilkan tenaga yang banyak.




Di katakan semasa berbohong, im­basan menunjukkan 14 kawasan otak akan menjadi aktif berbanding hanya tujuh kawasan saja jika bercakap benar. Menurut Daniel Langleben, seorang ahli psikiatri dan pakar saintis neuro dari Universiti Pennsylvania, ada tiga bahagian otak yang bergerak lebih aktif semasa berbohong iaitu anterior cingu­late cortex, dorsal lateral prefrontal cortex dan parietal cortex. Dari pemerhatian­nya, semasa menipu, aliran darah ke bahagian itu bertambah. Ini bermakna otak sedang bekerja kuat untuk ber­dusta.

Di sini dapat dilihat seolah-olah ada satu pusat komputer yang duduk di ubun-ubun yang telah diset kan dalam mode sentiasa berada pada kedudu­kan benar sepanjang masa. Bila kita bercakap benar, tidak ada sebarang perubahan tenaga yang dapat dikesan pada ubun-ubun. Sebaliknya bila ber­cakap bohong ada tenaga yang dike­luarkan dan ia boleh dikesan.

Penerangan yang boleh dibuat dari perubahan tenaga itu ialah begini, semasa menipu aliran darah akan ber­tambah di bahagian ubun-ubun dan banyak tenaga yang digunakan untuk mencari alasan apa hendak diberikan. Atas alasan itu mereka memutuskan, menipu bukanlah satu perkara yang datang tiba-tiba. Otak harus berfikir benar atau tidak kemudian barulah keputusan dibuat untuk menipu.

Misalnya apabila kita hendak menipu katakanlah, "langit itu hijau". Otak kita akan berfikir dahulu bahawa warna langit adalah biru tetapi kita hendak menafikannya. Otak akan bekerja keras untuk menafikannya sebelum menge­luarkan kata-kata bahawa langit adalah hijau.

Bagi Dr. Adnan, apa yang dinyata­kan di dalam al-Quran memang ada hubungannya dengan penemuan sain­tifik. Sebagaimana yang Allah sebut ubun-ubun yang berdusta. Hasil pen­emuan mendapati, bahagian frontal lobe itulah yang paling banyak mengeluar­kan tenaga apabila keputusan untuk menipu dibuat.

"Jika sebelum ini ulama mentafsirkan ayat itu secara perbandingan. Secara hakikinya dari sudut saintifik, ayat itu boleh didalami lagi maksudnya. Ubun ­ubun itulah yang berdusta, berbohong, tidak patuh, tidak taat pada perintah Allah kerana ia membuat keputusan," katanya.




AMALAN RASULULLAH

Tambah Dr. Adnan, yang menarik tentang nashiyah banyak disebut di dalam hadis. Malah Nabi amat me­ngambil berat tentangnya. Contohnya di dalam soal wuduk, Rasulullah me­nyapu kepala. Ada riwayat yang me­ngatakan maksud, menyapu kepala itu adalah sebahagian kepala dan ada juga yang kata keseluruhannya.

"Dan tafsiran tentang bahagian kepala yang mana, para fuqaha menga­takan ia melibatkan sebahagian dari kepala tetapi tidak kira di mana-mana. Namun apabila kita teliti, balik hadis yang mengatakan sebahagian adalah di bahagian hadapan saja iaitu di ubun­ ubun. Pendapat itu dikeluarkan ber­dasarkan beberapa riwayat yang me­ngatakan, Rasulullah apabila menyapu kepalanya, dari ubun-ubun bawa ke belakang dan dari belakang membawa ke ubun-ubun.

Sambungnya lagi, ada juga amal­an yang diajar oleh Rasulullah ketika berdoa setiap kali hendak tidur yang bermaksud “Aku memohon perlindungan Allah daripada kejahatan semua makhluk yang Engkau pegang ubun-ubunnya. "

Sebuah lagi hadis meriwayatkan tentang amalan yang Rasulullah lakukan ketika mendoakan orang lain mahupun untuk merawat. Seorang sahabat yang miskin datang mengadu dan minta Rasulullah berdoa untuknya supaya dia disenangi oleh orang lain dan dilayan dengan baik serta mendapat kelapang­an. Lelaki itu menceritakan balik, lalu Rasulullah sapu ubun-ubun saya dan berdoa kepada saya tiga kali.

Dalam satu peristiwa lain di mana Saad bin Abi Waqas sakit, Rasulul­lah datang melawatnya. Kemudian me­letakan tangannya di atas dahi (nashi­yah) lalu disapu ke muka, dada dan perut Saad. Rasullah berdoa kepada, Allah, wahai Allah sembuhkanlah Saad dan sempurnakan amalan kebajikan yang dilakukan.

"Daripada hadis-hadis yang diri­wayatkan, boleh dirumuskan bahawa ketika berdoa Rasulullah akan meme­gang ubun-ubun orang yang didoakan. Apabila hendak merawat orang sakit, tangannya, akan diletakan di dahi atau nashiyah juga.

"Itulah tandanya Rasulullah amat mengambil berat dan memberikan pen­jagaan yang baik dari segi fizikal serta rohani kepada nashiyah. Teknik yang diamalkan Rasulullah iaitu membelai rambut dan kepala, perlu dipraktikkan di dalam pendidikan secara sistematik. Di situ adalah pusat yang merang­sang iman dan pemikiran anak-anak, sepatutnya kaedah itu digunakan secara tersusun dan serius.

"Bila bersama-sama anak-anak kita usap kepalanya dan berdoa seba­gaimana yang Rasulullah amalkan. Ambil masa sedikit sebelum tidur atau semasa tidur jadikan amalan yang ter­atur. Amalan itu perlu diperluaskan di dalam masyarakat kita kerana ia ada kesan dari segi rohani dan spiritual. Di bahagian itu adalah pusat yang harus diberi perhatian dan tumpuan khusus oleh ibu bapa, guru, pendidik, pendak­wah untuk mentarbiahkan pelajar," ulasnya. 




“Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.” 
~ Pesanan Lukmanul Hakim kepada anak - anaknya



Al Islam Mac 2010 (m/s 56-57)

Artikel asal oleh : Norimanah Seman
Terbitan asal : Majalah Al Islam Mac 2010

Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah orang yang apabila disebutkan Allah akan gementar hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya (ayat-ayat Allah) akan bertambahlah iman mereka, dan kepada Rab (Tuhan) mereka bertawakal. ( Surah an-Anfal : Ayat 2 )

Wallahua'lam
 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan