HALAMAN

Rabu, Ogos 10, 2011

KAJIAN MALAIKAT MENURUT PERSPEKTIF SAINS

# PENTING : GAMBAR INI HANYA HIASAN SEMATA - MATA. IA BUKAN GAMBAR MALAIKAT. INI ADALAH KHAYALAN PELUKIS MENGENAI GUGUSAN BINTANG DI ANGKASA LEPAS DAN IA TIADA KAITAN LANSUNG DENGAN CIRI-CIRI RUPABENTUK MANA - MANA MALAIKAT YANG KITA KETAHUI.









Salah satu Rukun Iman adalah percaya kepada Malaikat. Namun begitu, pernahkah kita terfikir bagaimana caranya kita mendatangkan kepercayaan kepada Malaikat? Keimanan tidak datang secara bergolek. Keimanan kepada Allah boleh datang dengan meneliti, menghayati dan memikirkan tentang ciptaan-Nya di alam ini. 

Keimanan kepada Nabi boleh datang dengan mukjizat-mukjizat yang dikurniakan Allah kepada mereka. Tapi bagaimana pula keimanan kepada Malaikat? Apakah tanda-tanda kewujudan Malaikat?

Sebelum menjelaskan tentang kewujudan Malaikat, seseorang itu perlu tahu sifat-sifat Malaikat itu sendiri. Al-Qur'an dan Hadis banyak menjelaskan kepada kita tentang sifat-sifat Malaikat.


1. Malaikat dicipta daripada cahaya
Sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada Aisyah RA :
"Malaikat dicipta daripada cahaya, jin dicipta daripada api dan manusia dicipta daripada apa yang diceritakan kepadamu (tanah)" [Riwayat Muslim]



2. Malaikat tidak berkehendak, tiada nafsu.
Dan mereka berkata: "Mengapa rasul itu memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar? Mengapa tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama- sama dengan dia?" [Al-Furqaan : 7]


3. Malaikat taat melaksanakan perintah Allah tanpa sedikitpun membantah.
"Sesungguhnya malaikat-malaikat yang ada di sisi Tuhanmu tidaklah merasa enggan menyembah Allah dan mereka mentasbihkan-Nya dan hanya kepada-Nya-lah mereka bersujud." [Al-A'raaf : 206]


4. Malaikat dikurniakan Allah kekuatan.
"Dan malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada hari itu delapan orang malaikat menjunjung 'Arsy Tuhanmu di atas (kepala) mereka." [Al-Haaqqah : 17]


5. Malaikat boleh berubah menjadi apa jua bentuk dengan izin Allah.
Dan tatkala datang utusan-utusan Kami (para malaikat) itu kepada Luth, dia merasa susah dan merasa sempit dadanya karena kedatangan mereka, dan dia berkata: "Ini adalah hari yang amat sulit" [Huud : 77]







Malaikat Satu Bentuk Daya

Malaikat merupakan jamak kepada perkataan Arab iaitu 'malak' yang bermaksud daya (force). Dalam hadis Rasulullah, ada dinyatakan bahawa Malaikat dicipta daripada cahaya. 

Cahaya merupakan sinaran elektromagnet yang membawa tenaga dan momentum dan kesannya dapat dilihat apabila berinteraksi dengan jirim. Hal ini selari dengan makna Malaikat itu sendiri yang membawa maksud forces atau daya.

Penciptaan Malaikat tidak seperti Manusia. Manusia dicipta hasil dari tindak balas biokimia. Justeru, Manusia perlu patuh kepada hukum (sunnatullah) biokimia iaitu emosi, makan dan berkahwin (mempunyai jantina). Sebaliknya sinaran elektromagnet dicipta dari tindak balas fizik. Maka itu sinaran elektromagnet tidak tertakluk kepada hukum biokimia dan hal ini selari dengan sifat Malaikat itu sendiri iaitu tiada emosi, tidak bernafsu (tuntutan biologi) dan tiada jantina.

Menurut kajian, cahaya dapat bergerak di dalam vakum dengan kelajuan 299,792,458 meter sesaat. Hal ini selari dengan firman Allah dalam Al-Qur'an:
"..dan (malaikat-malaikat) yang terbang dengan kencangnya." [Al-Mursalaat : 2]








Patuh Hukum Alam

Malaikat adalah makhluk Allah yang sangat disiplin, patuh dan tidak pernah membantah perintah-Nya. Malaikat boleh diinterpretasikan sebagai utusan atau alatan Allah dalam mentadbir alam ini. Menjadi sifat sesuatu alat untuk patuh kepada pemiliknya. Seperti komputer yang diprogramkan untuk patuh menerima arahan oleh pembuatnya, Malaikat juga diprogramkan untuk patuh dan taat kepada perintah Allah. 

Kita melihat sinaran elektromagnet juga sentiasa 'patuh' kepada hukum fizik yang telah ditetapkan Allah. Sekiranya sinaran elektromagnet ini tidak 'patuh', Albert Einstein tidak akan memasukkan nilai c (halaju cahaya) dalam formulanya; E=mc2 sebagai pemalar (constant).

Di segenap penjuru alam ini, terdapat banyak bukti kepatuhan Malaikat terhadap perintah Allah. Sebagai contoh, antara tugas Malaikat ialah menurunkan hujan. Tugas Malaikat ini boleh dijelaskan secara saintifik. Menurut hukum fizik, pemindahan haba berlaku melalui tiga cara iaitu konduksi, perolakan dan sinaran. Melalui sinaran cahaya, matahari dapat memindahkan haba (tenaga) ke atas air di lautan Bumi. 

Setelah memperoleh tenaga, air di lautan mengewap ke udara lalu terkondensasi membentuk hujan.

Tanpa sinaran cahaya, tidak mungkin proses kitaran hujan berlaku kerana Hukum Keabadian Tenaga menyatakan bahawa tenaga tidak boleh dicipta dan dimusnahkan, ia hanya boleh berubah bentuk. Maka secara saintifik, air tidak boleh secara tiba-tiba mengewap ke udara tanpa ada tenaga yang dipindahkan. 

Maka Allah menetapkan supaya tenaga dari Matahari untuk menjadi sumber tenaga untuk air di Bumi dapat mengewap dan Allah memberi tugas kepada Malaikat (sinaran cahaya) untuk menjadi perantaraan pemindahan tenaga ini. Maka terjadilah kitaran hujan. Subhanallah!







Penjelmaan Hologram

Al-Qur'an pernah menceritakan kepada kita bahawa Malaikat pernah diutuskan kepada para Nabi menjelma dalam bentuk manusia. Hal ini tidak mustahil dan dapat difahami dengan mudah. Teknologi kini membolehkan kita mencipta imej 3D dengan hologram. Imej 3D hologram dapat dibuat dengan menggunakan pancaran laser dan pancaran cahaya yang mana kedua-duanya adalah sinaran elektromagnet. 

Hologram bukan sekadar mencipta imej 3D, akan tetapi hologram juga digunakan sebagai ciri-ciri keselamatan dalam kad kredit, kad pengenalan, lesen kereta atau VCD/DVD original untuk membezakan antara palsu dan tulen. Sifat hologram yang membezakan kepalsuan dan ketulenan selari dengan sifat Malaikat dalam firman Allah:
" ..dan (malaikat-malaikat) yang membedakan (antara yang hak dan yang bathil) dengan sejelas-jelasnya. "                 [Surah Al-Mursalaat : ayat 4]

Bagaimana pula dengan komunikasi? Sinaran elektromagnet boleh diklasifikasikan kepada beberapa jenis bergantung kepada frekuensi gelombang. Jenis-jenisnya termasuklah gelombang radio, gelombang mikro, sinaran terahertz, sinaran infrared, cahaya, sinaran UV, X-rays dan sinar gamma. 


Komunikasi dapat dilakukan menerusi gelombang radio atau gelombang mikro kerana keduanya adalah satu bentuk sinaran elektromagnet. Kini, terdapat pelbagai alat komunikasi yang menggunakan gelombang radio atau mikro seperti television, radio, telefon bimbit, dan wireless LAN. Maka tidaklah mustahil Malaikat dapat berbicara dengan Nabi dalam keadaan ia merupakan sinaran elektromagnet.





Penutup

Saya berpendapat bahawa tiada salahnya untuk menterjemahkan rupa bentuk Malaikat melalui pendekatan sains. Malaikat adalah salah satu makhluk Allah dan sudah pastinya ia sebahagian dari sunnatullah. Selagi kita tidak melampaui keterbasan akal dengan mengkaji Zat Allah, bagi saya tidak salah sekiranya mengkaji ciptaan Allah termasuk Malaikat sendiri. Bukankah Allah sendiri menggalakkan kita melihat tanda-tanda kekuasaan-Nya dengan mengkaji alam-Nya?

Daripada saya mengkaji sama ada Allah itu berada di atas arasy atau tidak bertempat, atau mempunyai tangan atau tidak mempunyai tangan, yang akhirnya tidak mendatangkan jawapan sebaliknya kekeliruan demi kekeliruan yang menatijahkan perdebatan sia-sia, lebih baik saya mengkaji ciptaan-Nya untuk memerhatikan tanda-tanda kekuasaan-Nya. Bagi saya, perkara itu lebih menambah iman.

Wallahua'lam.

- Artikel iluvislam.com

Rujukan

1. IRFI - The Muslim Belief in Angels
2. Muslim.or.id - Iman Kepada Malaikat
3. Al-Ikhwan.net - Iman Kepada Malaikat
4. Wikipedia - Light
5. Wikipedia - Electromagnetic radiation
6. Howstuffworks - How holograms work



Disalin dengan sedikit ubahsuai dari : http://www.iluvislam.com/t​azkirah/sains-a-islam/2473​-malaikat-menurut-perspekt​if-sains.html


Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah orang yang apabila disebutkan Allah akan gementar hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya (ayat-ayat Allah) akan bertambahlah iman mereka, dan kepada Rab (Tuhan) mereka bertawakal. ( Surah an-Anfal : Ayat 2 )

Wallahua'lam



Tiada ulasan:

Catat Ulasan