HALAMAN

Ahad, Ogos 21, 2011

PENDIDIKAN SEKS DI DALAM ISLAM ( Bagaimana Islam Menjaga Maruah Dan Keturunan )





Islam agama yang indah, lengkap dan memenuhi aspek kehidupan sejagat.

Setiap persoalan dalam kehidupan di dunia ini telah Islam sediakan dengan garis panduan, peraturan dan penyelesaiannya supaya manusia menjalani kehidupan dengan sejahtera.

Antaranya ialah persoalan seks.

Apabila berbicara mengenai seks, Islam menganjurkan umatnya bertanya segala masalah kepada orang yang lebih alim.

Saidatina Aisyah memuji sifat wanita Ansar yang berani bertanya Rasulullah SAW dalam masalah agama yang mereka tidak ketahui.

Tambahan pula persoalan seks amat berkait rapat dengan soal maruah yang menjadi satu daripada enam perkara asasi dan tonggak kesejahteraan serta keamanan sejagat selain agama, harta, nyawa, akal dan keturunan.

Pengabaian persoalan seks dikatakan antara faktor menyumbang kepada kemelut sosial yang semakin meruncing di kalangan masyarakat kini.

Justeru, pendidikan seks perlu diberi perhatian yang serius oleh ibu bapa secara khususnya ketika mendidik anak supaya mereka menjadi insan yang bertakwa kepada Allah SWT.

Seks memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Menurut kamus, seks ialah keinginan nafsu syahwat yang disalurkan pada tempat sebenarnya.

Dengan nafsu syahwat inilah keturunan manusia dilanjutkan.

Sehubungan itu, Islam tidak ketinggalan menyediakan garis panduan kepada manusia supaya mendidik nafsu syahwat selaras nilai Islam sehingga berubah menjadi nafsu yang dirahmati dan diredai Allah.

Dari sini, baru terbina sebuah mahligai rumah tangga yang bahagia dihiasi haruman sakinah , mawaddah dan rahmah.

Dari institusi kekeluargaan inilah, lahir generasi manusia yang akan menyambung keturunan untuk terus mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.




Menurut perspektif Islam, pendidikan seks sebahagian daripada pendidikan akhlak yang didasari asas iman.

Contoh, seorang Muslim yang beriman tidak akan menyalurkan naluri keinginan seks untuk berzina atau melakukan seks bebas, berkhalwat dan sebagainya.

Pendek kata, iman bertindak sebagai perisai utuh menghalang seorang Muslim melakukan larangan Allah.

Sebaliknya iman tohor menyebabkan mereka bertuhankan hawa nafsunya dan sanggup melakukan apa saja asalkan dapat memuaskan kehendak hawa nafsunya.




Konsep awal pendidikan seks dalam Islam dimulai dengan pengertian aurat iaitu bahagian tubuh yang wajib ditutup, tidak boleh diperlihatkan dan kita pun tidak boleh melihat aurat orang lain.

Bagi lelaki, auratnya antara pusat hingga ke paras lutut.

Aurat wanita pula seluruh tubuhnya kecuali muka dan dua tapak tangan. Dalam hal ini, tiada kelonggaran atau keuzuran bagi seseorang mendedahkan aurat kepada orang lain kecuali untuk tujuan perubatan dan sebab yang dibenarkan syarak.

Malah aurat adalah bahagian tubuh yang boleh membangkitkan nafsu syahwat. Sebab itu, Islam memerintahkan umatnya menutup aurat supaya tidak terdedah kepada gejala terlarang.

Seterusnya, Islam memerintahkan ibu bapa memisahkan tempat tidur anak mereka apabila sampai masa dengan menyediakan bilik khusus untuk anak lelaki dan anak perempuan.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW bermaksud:

"Suruhlah anak kamu menunaikan solat apabila berusia tujuh tahun dan pukul mereka apabila berusia sepuluh tahun (jika masih belum menunaikan solat) serta asingkan tempat tidur mereka."

(HR Tirmizi dan Abu Daud)




Selain itu, anak sewajarnya dijelaskan adab sopan dalam rumah dan luar rumah. Ibu bapa perlu mendidik mereka sejak kecil mengenai adab meminta izin dalam rumah tangga iaitu meminta izin untuk masuk ke bilik ibu bapanya.

Dalam hal ini, Allah berfirman maksudnya:

"Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang (yang telah cukup umurnya) yang tersebut dahulu meminta izin."

(Surah al-Nur: 59)

Pendidikan seks juga bererti mendidik diri anak dan orang dewasa sentiasa menjaga pandangan mata. Ini bermakna seorang Muslim dilarang memandang benda haram seperti menonton filem lucah, membaca bahan lucah, melihat gambar seks dan sebagainya.

Malah, lelaki wajib menundukkan pandangannya apabila melihat perempuan seperti dinyatakan Allah SWT dalam (Surah al-Nur: 30) yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan- Nya tentang apa yang mereka kerjakan."

Perintah menundukkan pandangan mata bukan hanya kepada lelaki malah perempuan yang turut dituntut memelihara aurat dan kehormatan mereka.

Dalam hal ini, Allah SWT berfirman maksudnya:

"Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mata mereka (daripada memandang yang haram), memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka."

(Surah al-Nur: 31)




Anak juga hendaklah diajar jangan bergaul bebas antara lelaki dan perempuan dan tidak berdua-duaan dengan yang bukan mahram.

Bergaul bebas antara mukadimah zina yang dilarang Islam selain perangkap yang dipasang syaitan untuk menjeremuskan umat manusia ke lembah perzinaan.

Huraian Al-Quran dan juga penjelasan hadis Rasulullah SAW berkaitan dengan proses kejadian manusia bermula dari setitik air mani hingga kepada proses kelahiran bayi, hendaklah disampaikan dan dijelaskan kepada anak dengan sebaik-baiknya untuk maksud membuktikan kekuasaan Allah.

Akhirnya, apabila anak mencapai umur kematangan yang melayakkan mereka membawa haluan hidup masing-masing maka ibu bapa perlu menerangkan etika hidup bersuami isteri dan berkeluarga mengikut cara Islam.

Mudah-mudahan mereka dapat membina sebuah mahligai rumah tangga bahagia yang berada di bawah keredaan Ilahi.

Sejarah membuktikan, pengetahuan manusia semata-mata tidak mampu membendung dan mendidik seks tanpa petunjuk Allah.

SUMBER 

Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah orang yang apabila disebutkan Allah akan gementar hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya (ayat-ayat Allah) akan bertambahlah iman mereka, dan kepada Rab (Tuhan) mereka bertawakal. ( Surah an-Anfal : Ayat 2 )

Wallahua'lam









Tiada ulasan:

Catat Ulasan