HALAMAN

Isnin, Ogos 22, 2011

KISAH PENGGUNTING RAMBUT DAN LELAKI MUKMIN






Pada suatu petang, seorang lelaki datang ke kedai gunting rambut untuk memendekkan rambutnya yang agak panjang dan tidak terurus.  Seperti biasa, si penggunting rambut menyambut pelanggannya dengan mesra dan mempersilakannya duduk.
Sedang si penggunting rambut melakukan kerjanya, mulutnya tidak berhenti bercerita.  Macam-macam dibualkan menyentuh isu semasa dan kehidupan harian.  Tiba-tiba si penggunting rambut itu bertanya suatu soalan yang agak berat.
“Tuhan ni wujud ke?” tanya si penggunting rambut.
Lelaki tersebut terkejut dengan soalan tersebut.  Belum pun sempat nak menjawab, si penggunting rambut menyambung percakapannya.
“Kalau Tuhan wujud kenapa dunia ni huru-hara, manusia saling berperang dan benci sesama manusia?  Tuan tengoklah berita, di sana berperang di sini berperang.  Asyik bergaduh sahaja di mana-mana…”  adu si penggunting rambut.
“Lihat di negara kita, sana sini buang bayi.  Kes bunuh pun selalu keluar di akhbar.  Masalah sosial lagi.  Rasuah lagi.  Teruklah!”  sambungnya lagi menyatakan kekesalan.
“Tuhan tu ada.”  Jawab si lelaki itu singkat.  Risau melihat semangat si penggunting rambut itu dengan gunting tajam di tangannya.
“Kalau betul Tuhan ada, kenapa DIA tak selesaikan semua masalah tu?  Dan buat semuanya jadi aman sahaja?  Kan senang!”  ujar si penggunting rambut yang umurnya 40-an itu.




Selepas beberapa minit berlalu, sesi guntingan rambut pun selesai.  Selesai membayar, si lelaki mengajak si tukang gunting melihat ke luar tingkap.
“Encik lihat tak lelaki-lelaki remaja di sana?  Dan pakcik tua di seberang jalan tu yang sedang duduk tu?”  tanya lelaki itu.
“Ya, saya nampak.  Kenapa?”  si penggunting rambut bertanya kembali.
“Lelaki remaja tu rambutnya panjang, nampak tak senonoh kan?  Dan pakcik tua tu pula misainya tak terurus nampaknya.  Setuju tak?”  Lelaki itu meminta pandangan.
“Ya, betul.  Saya setuju.”  si penggunting rambut mengiyakan sambil mengangguk.
“Mereka jadi macam tu sebab tukang gunting rambut tiada kah?”  tiba-tiba lelaki itu mengajukan soalan ‘istimewa’ kepada si penggunting rambut.
“Eh, tak.  Bukan sebab tu.  Ni saya ada ni.”  Si penggunting rambut menafikan.
“Habis tu kenapa lelaki-lelaki remaja itu berambut panjang dan pakcik tua itu tidak tersusun misainya?”  lelaki tersebut bertanya kembali.
“Tu sebab mereka tak datang jumpa saya.  Kalau mereka datang jumpa saya tentu saya akan potong rambut remaja lelaki tu bagi elok.  Dan pakcik tua tu pula saya akan trimmisainya bagi kemas.”  jawab si penggunting rambut.
“Ya, itulah jawapan kepada persoalan encik semasa encik memotong rambut saya tadi.  Tuhan itu ada.  Tidaklah bermakna berlakunya peperangan, pertelingkahan, jenayah, gejala sosial, rasuah di kalangan manusia itu adalah kerana Tuhan tidak ada.  Masalah ini semua timbul kerana mereka semua tidak mahu ‘berjumpa’ dengan Tuhan.”  kata lelaki itu.



Si penggunting rambut mendengar dengan teliti sambil mengerutkan dahinya.  Berfikir agaknya.
“Mereka yang abaikan suruhan dan perintah Tuhan.  Tuhan malah telah memberikan pedoman melalui RasulNYA dan juga melalui kitabNYA iaitu al-Quran.  Malangnya, manusia memilih cara mereka sendiri.  Mereka menjauhkan diri dari ALLAH.  Jika manusia mendekatkan diri dengan ALLAH, tentulah keadaan manusia lebih baik dan sejahtera.  Lebih kurang macam sayalah sekarang ni.  Lebih handsome dari lelaki-lelaki remaja dan pakcik tua tu sebab saya jumpa encik untuk dirapikan rambut saya, hehe…”
“Betul jugak.  Kenapa Tuan tak jelaskan pada saya semasa potong rambut tadi”  Si penggunting rambut mengangguk setuju sambil bertanya.
“Oh bukan apa.  Saya risau dengan gunting di tangan encik tu.  Dibuatnya encik marah nanti, tak pasal-pasal saya kena nanti…hehe.  Tapi, alhamdulillah encik tak marah, malah dapat menerima penjelasan saya”  Jelas lelaki tersebut sambil ketawa kecil.  Si penggunting rambut itu turut tertawa juga.
Antara pengajaran penting:
  • Tuhan itu ada.  DIA, yakni ALLAH adalah Tuhan Maha Esa.  DIA lah tempat semua memohon pertolongan dan bergantung harap.  ALLAH tidak beranak dan tidak diperanakkan.  Dan DIA tidak sama dengan mana-mana satu pun.
  • Patuhlah kepada perintah ALLAH dan jauhilah larangan ALLAH.  Kerana padanya terdapat kesejahteraan dan kebaikan yang menyeluruh.  “Aslim, taslam”.  Ambillah ISLAM secara keseluruhannya, nescaya semua manusia dan makhluq yang menghuni bersama manusia akan selamat.



SUMBER   <===========







Tiada ulasan:

Catat Ulasan