Oleh: DR. SIDEK BABA
Al-Quran terkandung undang-undang atau petunjuk yang memberi pedoman kepada manusia mengenai sesuatu yang nyata dan sesuatu yang ghaib. Mukjizat yang disampaikan oleh Allah kepada manusia menerusi Rasul-Nya terkandung hikmah yang amat besar untuk direnung dan difikirkan. Konsep ulul albab seperti yang dianjurkan oleh al-Quran membina jiwa tadabbur iaitu berfikir, mengamati dan memerhati supaya lahir kecenderungan mengkaji dan menyelidik.
Setiap surah dalam al-Quran terkandung maksud dan setiap ayat yang mengisinya terkandung makna. Ayat- ayat Allah ini adalah sesuatu yang hidup dan menghidupkan. Alam ini dan kehidupan yang diciptakan adalah gambaran ayat-ayat Allah yang mempunyai makna yang luas. Perjalanan alam dan sumber-sumber alamiah disebut dalam banyak ayat supaya proses silih gantian, keteraturan dan ketertiban membimbing manusia berfikir tentang kebesaran suatu kuasa iaitu Allah s.w.t.
Terciptanya bumi dengan limpahan rahmah dan nikmat yang banyak adalah gambaran Kekuasaan Yang Maha Mencipta untuk kesejahteraan manusia dan makhluk-makhluk yang lain. Al-Quran terkandung kisah-kisah manusia terdahulu dengan ragam kerenah yang pelbagai untuk menjadi iktibar manusia.
Apa yang berlaku pada Nabi Adam, perjuangan Nabi Nuh menyebarkan risalah tauhid, Nabi Musa dengan Firaun, Nabi Lut dengan kaumnya yang ingkar, Nabi Isa yang mengajak manusia kepada kebenaran tauhid, Nabi Yusof dengan fitnah dan keupayaan perancangan ekonominya adalah sebahagian gambaran manusia dan kerenah zamannya.
Ia berlaku pada masa yang lalu, berulang pada masa kini dan bakal berulang semula pada masa akan datang sekiranya manusia tidak menjadikannya ibrah atau teladan yang perlu diikuti.
Al-Quran juga terkandung prinsip dan ajaran, peringatan dan khabar gembira, pernyataan dan simbol-simbol dan yang amat penting ialah mengajak manusia berfikir tidak saja dalam batas alam nyata tetapi juga cuba memahami kewujudan faktor-faktor yang ghaib. Walaupun al-Quran bukan kitab sains umpamanya tetapi pedoman-pedoman saintifik amat banyak untuk dijadikan rujukan tentang bukti kebenaran dan mukjizat yang amat besar ini.
Para remaja tidak harus memanfaatkan al-Quran dalam batasan tilawah dan hafazan semata-mata. Memang benar terdapat fadilat dari amalan tersebut tetapi fadilat yang lebih besar ialah al-Quran terkandung sumber ilmu yang amat bernilai untuk diteliti dan dikaji supaya darinya terbina pertunjuk yang mempedoman remaja ke jalan yang benar dan diredai.
Pada hari ini pengajaran agama terhadap remaja mengambil pendekatan umum dan tradisional hingga menyebabkan daya fikir remaja tidak berkembang, pemahaman maksud rohaniah menjadi terbatas, kesan penghayatan semakin menipis dan akhirnya akhlak Islamiah tidak terlihat dalam menghadapi cabaran semasa yang banyak mencabar asas logik dan rasional.
Ia menyebabkan sebahagian remaja tidak merasakan ajaran agama dan pendidikan al-Quran memungkinkan dirinya atau zaman dewasanya nanti berupaya menghadapi serangan pemikiran dari luar lingkungan kehidupan beragamanya atau menjadi keliru dalam menghadapi cabaran ideologi dan fahaman yang berbagai atau terjebak dalam arus memuja dan mengagumi budaya Barat yang negatif dan akhirnya menjadi bercelaru dan hilang arah dalam memahami makna hidup dan kehidupan yang sebenarnya.
Sedangkan al-Quran pada banyak tempat menyebutkan kepentingan akal dan kepentingan pancaindera untuk berfikir dan melihat sesuatu yang diciptakan dan terjadi serta merangsang hati supaya merasakan sesuatu mengenai kebesaran dan kekuasaannya.
Asas-asas saintifik amat nyata ditunjukkan oleh Allah menerusi al-Quran supaya para remaja mendapat pertunjuk-pertunjuk saintifik mengenai kebenaran pencipta dan perkhabaran tentang sumber ciptaan-Nya.
Meskipun al-Quran diturunkan kira-kira 1,400 tahun yang lalu kepada Rasulullah s.a.w, seorang yang ummi iaitu tidak boleh membaca dan menulis atau menghadiri sistem pendidikan sains seperti hari ini, namun kebenaran mukjizat saintifik terus dibongkar oleh para saintis Islam berabad-abad lamanya dan dibongkar oleh saintis zaman kini atau mula mengakui kebenaran mukjizat al-Quran yang memberikan petunjuk saintifik dan sebahagiannya kembali kepada ajaran tauhid yang fitrah.
Pemenang Hadiah Nobel, Albert Einstein pernah menyebutkan: “Sains tanpa agama adalah palsu dan agama tanpa sains adalah buta.”
Dr. Zakir Naik
Al-Quran bukanlah kitab sains tetapi terkandung signs atau ayat-ayat yang memberi petunjuk. Mengikut Dr. Zakir Naik seorang pendakwah terkenal dari India, terdapat lebih 1,000 ayat yang berhubung dengan sains. Petunjuk-petunjuk saintifik dalam al-Quran terkandung kebenaran dan fakta bukan sekadar hipotesis atau teori yang masih dalam kajian dan persoalan.
Amat penting bagi remaja memahami dan menginsafi tentang kebenaran al-Quran mengenai sains supaya darinya remaja dapat membina kekuatan iman dan keyakinan terhadap Pencipta dan menerusi jendela Qurani remaja boleh menjadi orang-orang yang bertakwa terhadap kebenaran dan fakta saintifik yang tidak boleh diragukan lagi.
Al-Quran 21:30 menyebutkan dengan jelas tentang kejadian alam semesta. Teori Dentuman Besar atau Big Bang yang dipercayai oleh para saintis kini menyebabkan berlakunya pembentukan galaksi. Ia berkembang menjadi bintang, planet, matahari, bulan dan sebagainya. Al-Quran juga menyebutkan tentang makna dukhan atau asap atau gas yang menjadi rujukan utama kepada fakta teori Dentuman Besar (al-Quran 41:11).
Pada zaman awal manusia percaya bahawa bumi ini rata. Al-Quran 31:29 dan 39:5 menyatakan dengan jelas tentang bumi ini bulat (spherical). Mereka juga percaya bahawa bulan bercahaya dan sumbernya sendiri sedangkan al-Quran 25:61; 10:5; 71:15-16 menyebutkan ia adalah pantulan dari cahaya matahari.
Al-Quran 51:47 juga menyebutkan tentang sifat alam jagat yang mengembang. Konsep musi’un dalam al- Quran menyatakannya dengan jelas dan ia diakui oleh para saintis seperti Edwin Hubble sejak tahun 1925 lagi mengenai kebenaran fakta saintifik al-Quran.
Konsep atom juga tersebut jelas dalam al-Quran 34:3 dengan rujukan zarah yang mengaitkan Allah mengetahui yang kecil dan besar malah sekecil zarah. Gunung-ganang sebagai pasak-pasak bumi (awtad) disebutkan oleh al-Quran 78:6-7 membayangkan pentingkan faktor penstabil bagi bumi bagi mengelakkan bumi dari bergoncang (al-Quran: 21:13).
Malah kalau diteliti lebih jauh, al-Quran memberi kita petunjuk tentang ilmu biologi, botani, zoologi, perubatan, fisiologi, embriologi, psikologi, sains, teknologi dan lain-lain. Bayangkan kalau para remaja mendekati al-Quran dengan jiwa tadabbur maka fakta dan kebenaran saintifik yang terkandung dalam al-Quran bakal membina keimanan dan keyakinan remaja tentang Allah, kejadian dan kebesaran-Nya.
Dari situlah bermula binaan akidah yang diterjemahkan dalam asas ibadah yang luas, berdiri atas faktor syariah yang terkandung maqasid atau maksud dan menghasilkan peribadi-peribadi yang memiliki akhlak tinggi yang memiliki jiwa rukuk dan sujud terhadap pencipta.
Disalin dengan sedikit ubahsuai dari : ( Klik Sini )
Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah orang yang apabila disebutkan Allah akan gementar hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya (ayat-ayat Allah) akan bertambahlah iman mereka, dan kepada Rab (Tuhan) mereka bertawakal. ( Surah an-Anfal : Ayat 2 )
Wallahua'lam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan